27 November 2008 TAWAU, 27 Nov (Bernama) -- Semua pengusaha industri akuakultur di Sabah akan dilesenkan secara berperingkat bagi memastikan industri berkenaan lebih terurus dan dinamik seterusnya mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Bobbey Suan berkata semua pengusaha industri akuakultur yang memiliki kawasan ternakan melebihi 0.3 hektar dimestikan memiliki lesen selaras dengan Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur 2003. "Kita mahu supaya produk-produk akuakultur kita lebih terjamin.
Sekarang ini negara-negara Kesatuan Eropah (EU) mahu supaya produk-produk kita memenuhi keperluan tertentu seperti selamat dan bersih. "Jadi kitapun dari masa ke semasa perlu meningkatkan produk-produk perikanan kita dari aspek tersebut bagi memudahkan kita mengeksport produk berkenaan ke luar negara.
Pelanggan pun tidak akan ragu-ragu dengan produk kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlancaran Program Pelesenan Akuakultur Negeri Sabah di sini hari ini. Beliau mewakili Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Yahya Hussin. Katanya sebelum ini memang ada pelanggan yang mempersoalkan kualiti produk akuakultur dari Sabah sehingga ada antara mereka enggan membeli produk berkenaan menyebabkan Sabah kerugian kira-kira RM80 juta.
Sebab itu katanya produk akuakultur dari Sabah perlu diurus dan dikawal supaya ia sentiasa mematuhi piawaian antarabangsa. Kini terdapat 2,635 pengusaha akuakultur air payau dan 7,000 pengusaha akuakultur air tawar di Sabah dan aktiviti pengusaha berkenaan perlu dikawal bagi memastikan produk mereka bukan sahaja mematuhi kehendak pelanggan tetapi juga bagi mencegah sebarang unsur pencemaran alam sekitar.
Menurut Suan Jabatan Perikanan Sabah sudah memiliki bank data mengenai semua pengusaha industri akuakultur di negeri ini dan pada masa ini sedang meneliti semua permohonan yang diterima sebelum lesen dikeluarkan. Bagaimanapun, katanya keutamaan penguatkuasaan pelesenan berkenaan akan ditumpukan kepada pengusaha atau syarikat-syarikat besar sebelum diperluaskan kepada pengusaha kecil.
0 comments:
Post a Comment