Wednesday, May 27, 2009

Ternakan Ikan, Ketam Dan Udang Kara Dalam Kepungan Bawa Pulangan Lumayan

Ketika menjadi nelayan tradisional kira-kira 30 tahun lalu, pendapatan Jaihanu Intik cuma sekitar RM800 sebulan.Kini, selepas menjadi penternak ikan dan udang kara dalam kepungan, pendapatan Jaihanu, 55, dari Kampung Trusan Tengah 2, kini meningkat berlipat kali ganda.

Seorang lagi penternak akuakultur, Mohd Saldikun Ali Lampong, 40, yang mengusahakan penternakan ketam suri dalam kepungan, kini mampu mengeluarkan sehingga 200kg isi ketam seminggu dengan nilai jualan sehingga RM15,000 sebulan.
Mohd Saldikun dari Kampung Tundun di Pulau Bum-Bum dengan rakan kongsinnya seramai 15 orang, turut membuka sebuah pusat memproses isi ketam dan mengeluarkan makanan berasaskan ketam melalui penubuhan sebuah syarikat yang dinamakan Sukai Enterprise di Kampung Tundun.

Kini isi ketam yang mereka keluarkan, satu daripada projek Gerakan Desa Wawasan Kampung Tundun di Pulau Bum-Bum, dieksport ke negara China manakala produk berasaskan ketam seperti serunding, popia, karipap dan maruku, selain untuk pasaran di Sabah, juga dieksport ke Semenanjung Malaysia.

JABATAN PERIKANAN

Jaihanu dan Mohd Saldikun adalah antara pengusaha akuakultur yang berjaya di Semporna.

Mereka berdua dan ramai lagi yang berjaya dalam usaha mereka, mendapat bantuan dan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah dan beberapa agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Usaha mereka mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah menghabiskan masa hampir dua hari di Semporna untuk meninjau perkembangan industri perikanan dan industri lain berasaskan laut di daerah berkenaan.

Akuakultur di dalam kepungan berbeza sedikit daripada ternakan ikan atau hidupan laut lain di dalam sangkar, dari segi kaedah pembinaan infrastrukturnya.

Kepungan biasanya dibina di kawasan laut yang perairannya agak cetek, dengan mencacakkan tiang dalam bentuk petak, terus dari dasar laut. Kemudian petak-petak berkenaan dipasang dengan jaring di sekelilingya.

SANGKAR

Berbeza dengan sangkar yang terapung mengikut air pasang surut, kepungan adalah struktur statik, mungkin setinggi 15 hingga 20 kaki (5-6.6 meter).

Jika air pasang, paras air dalam kepungan menjadi tinggi dan sebaliknya.

Jaihanu dan empat lagi petani yang mengusahakan penternakan ikan dan udang kara dalam kepungan secara berkumpulan, mampu meraih pendapatan antara RM25,000 hingga RM30,000 sekali tuaian.

“Kami membuat tuaian lima kali dalam setahun. Ikan yang kami ternak ialah jenis ikan bernilai tinggi termasuk pelbagai ikan kerapu dan ikan putih yang berharga antara RM90 hingga RM150 sekilogram,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Jaihanu, beliau dan rakan-rakannya memulakan projek mereka dengan menternak udang kara pada tahun 1992 dengan modal pusingan sebanyak RM5,000.

Kira-kira 10 tahun kemudian, selepas projek mereka berkembang dengan hasil jualan yang meningkat, mereka mula menternak ikan bernilai tinggi seperti pelbagai ikan spesies kerapu termasuk kerapu tikus dan ikan ayam pada tahun 2000.

12 PETAK KEPUNGAN

Jaihanu dan rakan-rakannya kini mengusahakan 12 petak kepungan dan merancang memperluas kawasan ternakan mereka.

Bagi Mohd Saldikun dan rakan-rakannya pula, mereka mengusahakan lapan petak kepungan ketam dengan setiap petak berukuran 100X100 kaki. Mereka mempunyai kira-kira 20,000 ekor ketam.

“Tuaian kami lakukan setiap hari. Ketam suri yang sudah besar atau matang kami akan tuai untuk diproses. Biasanya ketam berkenaan akan direbus sebelum isinya dikeluarkan.

“Melalui kemudahan moden yang dibekalkan kerajaan, kami kini mampu memproses 3.0 kg isi ketam sejam berbanding 1.0 kg sejam ketika menggunakan kaedah tradisional,” kata Mohd Saldikun yang juga pengerusi Gerakan Desa Wawasan Kampung Tundun.

Katanya purata pengeluaran isi ketam seminggu ialah sebanyak 200 kg dengan setiap kilo dijual pada harga RM22.

Mereka merancang meningkatkan pengeluaran isi ketam sehingga 300kg seminggu.

PELUANG PEKERJAAN

Projek berkenaan juga memberi peluang pekerjaan kepada 10 belia menganggur di kampung berkenaan. Mereka dibayar RM5 bagi setiap satu kilogram isi ketam yang diproses.

“Dari segi pasaran, kami tidak menghadapi masalah. Malah kami tidak dapat memenuhi semua permintaan berdasarkan keupayaan pengeluaran isi ketam dan produk berasaskan isi ketam sekarang,” katanya.

Mohd Saldikun berkata perundingan sedang dibuat bagi mereka membekalkan serunding ketam kepada pasukan keselamatan.

Sementara itu, Yahya berkata perairan Semporna amat sesuai untuk industri ternakan ikan, ketam dan udang kara serta rumpai laut dan berpotensi besar untuk dikembangkan.

Katanya Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang menjalankan kajian mengenai pelbagai spesies ikan kerapu dan spesies ikan bernilai tinggi dan berharap dapat membekalkan benih ikan berkenaan kepada penternak.

“Kami juga akan menjalankan kajian untuk mengeluarkan benih ketam di Sabah untuk mengembangkan lagi industri ternakan ketam di negeri ini,” katanya.


SUMBER

0 comments:

Post a Comment

 

NM AQUA ENTERPRISE ©. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc