Monday, June 22, 2009

Global Hi-Q Mahu Jadi Pembekal Terbesar Benih Ikan

Oleh Mohamad Zabidi Osman

PULAU PANGKOR, 16 Feb (Bernama) -- Global Hi-Q Bio Tech Sdn Bhd yang mengusahakan kolam ternakan ikan laut bakal menghasilkan kira-kira 6 juta benih ikan setahun untuk tujuan eksport dan domestik apabila projek berkenaan beroperasi sepenuhnya tahun ini.


Kolam ternakan ikan laut di darat itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini dan syarikat berhasrat menjadi pembekal utama anak ikan kerapu negara.

Ia akan membina sebanyak 78 buah kolam ikan yang mampu mengeluarkan kira-kira 1.4 juta anak ikan setiap pusingan pembiakan antara dua dan tiga bulan.


PEMBEKAL TEBESAR : Mohd Nasir Mohd Rashid (kanan) bersama beberapa orang pekerjanya melihat benih ikan laut yang diternak di kolam akuakultur milik syarikat itu di Teluk Dalam. Syarikat itu bakal menghasilkan kira-kira 6 juta benih ikan setahun untuk tujuan eksport dan domestik apabila projek berkenaan beroperasi sepenuhnya tahun ini. Foto: Zabidi Osman


"Kita akan membekal benih anak-anak ikan itu setiap dua bulan sekali dan sebahagian besarnya adalah anak-anak ikan kerapu yang mendapat permintaan tinggi daripada penternak," kata Pengarah Urusan Global Hi-Q, Mohd Nasir Mohd Rashid.

Beliau membawa pemberita melawat fasa pertama projek kolam akuakultur ikan laut milik syarikat itu di Teluk Dalam di sini, baru-baru ini.

MENGGUNAKAN BIOTEKNOLOGI

"Satu kelebihan ternakan ikan menggunakan kaedah bioteknologi ini ialah kita dapat mengeluarkan ikan mengikut saiz yang diminta oleh pelanggan," katanya.

Projek yang berkonsepkan agro-pelancongan itu membabitkan kawasan seluas 20 hektar dan majlis pecah tanah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Mei tahun lepas.

Mohd Nasir berkata anak-anak ikan yang dilepaskan oleh Perdana Menteri semasa melancarkan projek itu kini sudah sedia untuk dipasarkan dan hasil sulung projek berkenaan dijangka dihantar ke Pulau Pinang bulan ini.

Beliau berkata buat masa ini kita telah melabur sebanyak RM7 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur termasuk pembinaan enam buah kolam pembenihan, kolam ikan, penternakan ikan serta sistem pembersihan dan penapisan air laut.

"Kami akan melabur sebanyak RM8 juta untuk membina 72 buah lagi kolam dan sistem penapisan air laut yang akan mula dilaksanakan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi," katanya.

TEKNOLOGI TAIWAN

Setiap kolam anak ikan mampu menempatkan kira-kira 20,000 ekor anak ikan.

"Teknologi yang diperkenalkan oleh pakar-pakar Taiwan ini sangat baik kerana kadar kematian anak-anak ikan yang diternak dalam kolam adalah hampir sifar berbanding yang diternak dalam sangkar di laut.

Proses penapisan air memainkan peranan besar...air laut yang dipam akan ditapis sebelum dialirkan ke dalam setiap kolam," katanya.

Projek yang dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat Taiwan sebagai pembekal teknologi itu merupakan satu-satunya projek ternakan ikan laut di daratan yang terbesar di negara ini menggunakan kaedah bioteknologi mesra alam, kata beliau.

Mohd Nasir berkata syarikat Taiwan itu telah mengusahakan projek ternakan ikan laut di darat sejak 25 tahun lepas.

Syarikat Taiwan itu ialah Hi-Q Bio-Tech International Taiwan yang merupakan salah sebuah syarikat akuakultur terbesar negara itu yang menjalankan aktiviti ternakan ikan laut bagi tujuan eksport.

"Kita bersyukur kerana mereka mahu bekerjasama. Mereka yakin dengan potensi di negara ini kerana ternakan boleh dijalankan sepanjang tahun disebabkan faktor cuaca dan kita juga tidak diancam bencana alam seperti gempa bumi.

"Air laut di sekitar Pulau Pangkor pula bersih dan tidak tercemar," katanya.

Teknologi ternakan ikan di darat yang dibawa dari Taiwan ini adalah yang terbaik kerana ia tidak memerlukan kawasan yang luas malah membawa pulangan dengan cepat, kos pengurusan yang minimum dan kadar keuntungan yang tinggi, katanya.

Mohd Nasir berkata selain mengeskport ikan, syarikatnya bercita-cita menjadikan Pulau Pangkor sebagai pusat pembekal utama anak-anak ikan kerapu negara dan ia sekali gus akan membantu pengusaha tempatan mendapatkan anak ikan lebih bermutu pada harga murah.

Bekalan anak ikan kerapu sekarang banyak dibawa dari Indonesia, Vietnam dan Taiwan tetapi dengan kos dan kadar kematian ikan yang lebih tinggi turut menimbulkan masalah kepada penternak-penternak ikan dalam sangkar, kata beliau.

Ternakan ikan dalam sangkar berkembang pesat di negara ini tetapi bekalan benih terpaksa diimport dari luar dengan harga yang lebih mahal dan kadar kematian benih yang agak tinggi iaitu antara 40 hingga 50 peratus.

Syarikatnya menawarkan harga sekitar RM1.50 dan RM2 bagi seekor anak ikan kerapu bersaiz antara 7 cm dan 12 cm berbanding sekitar RM2.50-RM3 bagi benih ikan lebih kurang sama yang diimport.

"Kita yakin projek ini pada jangka panjang mampu membekalkan anak ikan kepada semua penternak tempatan dan secara tidak langsung akan mengurangkan pengaliran keluar matawang.


KAEDAH MESRA ALAM

"Kita memastikan projek ini tidak menjejaskan alam sekitar kerana kita pun bimbang sekiranya ia menjejaskan alam sekitar, ia juga akan menjejaskan ternakan ikan ini, "katanya.

Menurutnya, air dari kolam-kolam ikannya juga akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum disalurkan semula ke laut.

Mohd Nasir berkata satu aspek unik pusat berkenaan ialah kawasan hutan sekitarnya akan dikekalkan dan pihaknya telah meminta kerjasama Jabatan Perhutanan Perak untuk membantu mengenalpasti dan menamakan spesies pokok bagi kemudahan pelawat.

Selepas siap pembinaan kolam-kolam itu tahun ini, fasa kedua yang melibatkan pembinaan chalet, resort, pusat memancing ikan dalam bangunan berhawa dingin, pusat penyelidikan dan tanaman buah-buahan dimulakan pula secara berperingkat-peringkat, kata Mohd Nasir.

Sementara itu, aktiviti ternakan ikan laut di darat yang dijalankan oleh Global Hi-Q mungkin diperluaskan ke seluruh negara melalui program kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

LKIM juga bercadang menjalin perkongsian bijak dengan syarikat berkenaan bagi menceburi bidang ternakan ikan berteknologi tinggi di negara ini, kata Ketua Pengarah LKIM Datuk Annas Khatib Jaafar semasa melawat projek itu baru-baru ini.

Annas berkata melalui perkongsian teknologi itu, Global Hi-Q akan membantu daripada segi kepakaran dan pemasaran.

BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 

NM AQUA ENTERPRISE ©. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc